KL MotoPark

Home  arrow  Motopedia  arrow  Featured Articles  arrow  Kegemilangan Yang Hilang
Kegemilangan Yang Hilang Print E-mail

Masih ingatkah lagi zaman 80an di mana perlumbaan di Pulau Pinang dilangsungkan di tepi laut, Jalan Gurney. Atau semasa Litar Batu Tiga dipenuhi pengunjung setiap minggu sehingga ke lewat pagi. Di zaman itu kegairahan rakyat disanjungi dan dipupuk menjadi gaya hidup sihat. Beribu-ribu peminat dapat mengikuti perkembangan teknologi dan ramai yang menceburi bidang seni reka hasil daripada minat dan keghairahan kejenteraan. Secara semulajadi minat dan keghairahan menjana hidup, pembangunan dan pengetahuan.


Peminat sedunia mempunyai pegangan luar biasa ke atas ’Motorsports’ kerana kelebihanya sebagai satu pelantar pengajian di sebalik sukan dan rekreasi yang memukau. Sudah lebih 7 tahun semenjak Litar Batu Tiga dikuburkan dari jangkauan beratus ribu peminat dan pengikut sukan bermotor tanahair. Semenjak itu beraneka kejadian menyelubungi kisah cinta antara peminat dan sukan bermotor. Tidak hairanlah kenapa sebahagian besar penonton sudah mengalih perhatian kepada sukan bermotor yang dikategorikan 'haram'.

Sekarang, ada pihak yang memudahkan isu supaya kita pergi ke litar sedia ada tanpa mendalami unsur-unsur yang memainkan peranan semulajadi. Faktor kos dan jarak diremeh-temehkan diselubungi agenda songsang atau kepentingan khusus. Kalau dipaksa pun, kalender yang penuh tidak dapat menampung keperluan yang terlalu luas. Ianya bukan sahaja isu nak berlumba seperti yang diperkotak-katikkan.

Rekreasi datang dari perkataan ’recreation’; i.e. to re-create, iaitu mewujudkan atau melahirkan. Amatlah mustahak bagi mana-mana tamadun itu untuk berkembang melalui proses ’pengwujudan’. Rekreasi adalah penggunaan masa secara teraputik untuk badan dan minda. Faktor ini menyebabkan beratus juta ringit dibelanjakan untuk mendirikan kemudahan rekreasi seperti taman, kompleks sukan dan stadium di seluruh negara. Malangnya untuk sukan kedua terbesar di dunia (sukan bermotor), masih kekurangan kemudahan asas untuk rakyat Malaysia.

Perubahan masa mengajar kita untuk mengadaptasi ke arah modenisasi seimbang terutama sekali dari segi sosial dan ekonomi. Dengan beratus padang bola yang ada, Malaysia masih ketandusan pencapaian antarabangsa dalam sukan ini. Sukan bermotor pula dengan hanya 2 pelantar, telah melahirkan Alex Yoong dan beberapa lagi individu mencapai prestasi antarabangsa. Bukankah bijak jika kemudahan sukan bermotor ditingkatkan untuk menjadi pemangkin industri dan sukan, sekaligus menuju ke arah pembangunan sosial yang terurus.

Sekarang, belia yang menceburi bidang perlumbaan tidak dilihat sebagai perwujudan semulajadi tetapi hanya sebagai gangguan masyarakat seperti isu mat rempit. Begitu juga dalam kejadian 400 kereta yang disita di Johor pada tahun 2006 untuk perlumbaan ’Drag’. Fikirkan di mana hampir 300 ’drifters’ berlatih sehingga yang terbaik di antara mereka telah mencapai kedudukan kelima di dunia. Tidakkah lebih pro-aktif jika disediakan tempat yang sesuai untuk rekreasi sebegini daripada tindakan penguatkuasa atau permainan sentimen oleh segelintir ahli politik melalui pihak media.

Di dunia moden hari ini, masyarakat terpaksa berlumba mengejar kefahaman dan pengetahuan mengenai teknologi. Ianya lebih memudaratkan apabila kedangkalan pengetahuan dihimpit oleh cabaran pengurusan kenderaan peribadi yang seringkali memerlukan kefahaman yang tinggi. Apakah kesannya di peringkat pengguna?

Bayangkan kesudahannya apabila mekanik mencadangkan kepada kita untuk mengubahsuai kenderaan untuk meningkatkan prestasi. Kebanyakan pengguna sanggup berbelanja berpuluh ribu ringgit untuk meninggkatkan kuasa enjin tetapi segelintir sahaja yang akan memikirkan tentang ciri-ciri pemanduan seperti suspensi dan brek. Bukankah ini pengetahuan am? Fikirkan bagaimana rekreasi sukan bermotor itu dapat memberi kesan dan menyempurnakan kefahaman sebegini.

Bukan bermaksud untuk mencela semata-mata tetapi kenapa agaknya kita seringkali diajar berpandangan jauh, namun malangnya sentiasa bertindak menggunakan penyelesaian yang kontot.

Discuss this in forum

 

mm_logo.png aam.png ksn.png dbkl.png